“Ketika itu tuan rumah juga boleh membantu dengan menghidangkan makanan yang lebih berkhasiat seperti tambahan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam hidangan. Ini kerana selama sebulan berpuasa dengan cuba mengosongkan perut dan apabila hari raya perut “terus terkejut” dengan kuantiti makanan yang berlebihan,” katanya sambil menggalakkan umat Islam berpuasa enam semasa bulan Syawal sebagai salah satu cara mengawal pemakanan.

Jelas beliau terdapat dua jenis sakit jantung yang biasa dalam kalangan pesakit sewaktu perayaan iaitu serangan jantung (heart attack) dan lemah jantung (heart failure).

“Ini adalah antara dua sakit jantung yang biasa berlaku walaupun terdapat banyak lagi jenis sakit jantung yang lain,” katanya.

Menurut Dr. Shahrul, serangan jantung biasanya berlaku apabila terdapat ketulan darah atau bahan kumuhan yang menyebabkan salur darah tersumbat 100 peratus di dalam salur darah koronari (coronary artery). Ini boleh berlaku kerana banyak sebab antaranya, akibat stres yang berlebihan misalnya terlalu penat akibat aktiviti yang berlebihan sewaktu musim perayaan.

Dr. Shahrul berkata, penyakit lemah jantung berlaku apabila jantung seseorang itu lemah dan tidak dapat mengepam darah seperti jantung normal dan biasanya dikaitkan dengan masalah paru-paru berair (pulmonary oedema) di mana air atau lebihan darah akan terkumpul di dalam paru-paru dan menyukarkan seseorang itu untuk bernafas.

Terdedah

Ini selalu berpunca daripada masalah coronary artery disease tetapi boleh juga disebabkan oleh sakit lain contohnya masalah injap, jantung berlubang, kuman di dalam jantung dan lain-lain. Bagi mereka yang mengalami masalah lemah jantung juga biasanya bukan sahaja jantung mereka akan membengkak tetapi kaki mereka juga akan turut membengkak, cepat letih dan tidak mampu berjalan jauh kerana sesak nafas.

Bagi mereka yang menghidap sakit ini adalah sangat penting bagi mereka untuk mengawal minuman (jumlah air yang diminum perlu dikurangkan) dan juga kurang mengambil garam di dalam makanan seharian.Bagi mereka yang minum alkohol berlebihan, mereka juga terdedah dengan masalah lemah jantung (alcoholic dilated cardiomyopathy). Pada mereka yang sudah mengalami masalah ini, selain daripada mengawal makanan dan minuman, mereka juga perlu bergantung dengan ubat-ubatan moden atau pada tahap yang lebih serius mungkin memerlukan alat bantuan pacemaker (biventricular pacemaker) bagi membantu kelancaran jantung.

Apabila mengesyaki seseorang itu terkena serangan jantung, apa yang perlu dilakukan:

1 Hantar segera ke pusat kesihatan atau hospital terutama yang mempunyai unit jantung yang akan melakukan ujian ECG.

2 Menjalani pemeriksaan darah terutama troponin dan cardiac enzyme.

3 Pemeriksaan doktor pakar.

Apabila pesakit disahkan mendapat serangan jantung dan kemugkinan 100 peratus saluran darah jantung tersumbat biasanya terdapat dua pilihan cara mengubat:

1Ubat pencair darah thromblisis (thrombolysis) bagi memecahkan ketulan darah beku yang besar dan melancarkan semula pengaliran darah jantung (coronary artery)

2 Angiogram dan angioplasty (angioplasty)

Biasanya angiogram dan angioplasty akan dilakukan serta-merta ketika pesakit sampai tanpa lengah kerana setiap saat yang dilengahkan akan membawa kepada kegagalan otot jantung dan sudah tentu akan membahayakan pesakit.

Dr. Shahrul memberi ingatan agar jangan ambil ringan jika ada tanda-tanda serangan jantung seperti sakit dada, tangan atau bahu kiri, sesak nafas, muntah dan berpeluh tambahan jika ia dialami oleh mereka yang berisiko tinggi seperti penghidap darah tinggi, diabetes, kolestrol, merokok atau mereka yang ada ahli keluarga terdekat yang mempunyai sakit jantung.

“Jika telah mencapai usia 40 tahun, dinasihatkan menjalani ujian imbasan jantung eksklusif (executive screening program), mengamalkan gaya hidup sihat dengan menjaga pemakanan dan senaman selain kawal risiko jika ada diabetes, darah tinggi dan kolestrol. Namun adalah lebih baik jika dapat memastikan berhenti merokok,” katanya.