Ribut Terburuk Dalam Sejarah

gambar artikel pilihan

BAGAN SERAI - Kejadian ribut paling teruk dalam sejarah Kerian menyaksikan sejumlah 126 rumah penduduk terjejas, manakala beberapa bangunan surau dan sekolah mengalami kerosakan pada bumbung.

Lebih menyedihkan, penganjuran Karnival Keusahawanan dan Kerjaya Bagan Serai, kelmarin, terpaksa dibatalkan serta-merta dan kerugian dianggar mencecah RM70,000.

Ahli Parlimen Bagan Serai, Dr Noor Azmi Ghazali berkata, sejumlah 85 rumah di Dun Alor Pongsu, Selinsing dan Gunung Semanggol terjejas teruk, manakala dua surau di Taman Indah Jaya, Jalan Kerian dan Taman Intan rosak pada bumbung.

Berikutan itu, menurutnya, pegawai Emergency Response Team (ERT) Pusat Khidmat Parlimen Bagan Serai diarah untuk meninjau keseluruhan rumah dan semua mangsa ribut diberikan sumbangan wang tunai dan barang keperluan harian.

“Kejadian ribut kali ini antara yang terburuk dialami penduduk Parlimen Bagan Serai dan saya simpati dengan semua keluarga mangsa, terutama rumah terjejas teruk.

“Bagi meringankan beban, sejumlah 31 rumah, termasuk sebuah surau bakal dibaik pulih melalui peruntukan saya sendiri dan kerja baik pulih bangunan terjejas akan dilaksanakan secepat mungkin," katanya kepada media ketika ziarah rumah mangsa ribut, semalam.

Difahamkan, pecahan rumah dibaik pulih membabitkan lapan di Dun Alor Pongsu, Gunung Semanggol (18) dan Selinsing (5).

Manakala, kos baik pulih setiap rumah mangsa ribut dianggarkan bernilai antara RM5,000 hingga RM10,000.

Dalam pada itu, Noor Azmi berkata, pihaknya akan mengarahkan pegawai ERT terus memantau mana-mana rumah dilanda ribut untuk disalurkan bantuan segera.

"Kejadian bencana alam yang kerap berlaku di daerah Kerian perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh semua pihak bagi memastikan setiap mangsa ribut mendapat bantuan sewajarnya," katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kerian, Datuk Hamzah Hussin berkata, bantuan kecemasan berbentuk wang tunai dan kotak makanan diserahkan kepada keluarga mangsa.

Menurutnya, hasil kajian Jabatan Meteorologi memaklumkan, punca bencana ribut kerap melanda daerah Kerian disebabkan lokasinya dekat dengan lautan dan mempunyai kawasan lapang seperti sawah padi.

“Angin yang datang dari laut dan kawasan sawah padi menyebabkan rumah di kawasan tanah lapang yang menjadi laluan utama angin dan puting beliung dilanda ribut.

“Berdasarkan laporan diterima setakat ini, enam rumah terjejas di Mukim Parit Buntar, Bagan Tiang (12), Kuala Kurau (17), Bagan Serai (58), Beriah (6), Gunung Semanggol (23), Selinsing (3) dan Tanjung Piandang (1).

“Kita harap mangsa tabah dan pada masa sama, agensi kerajaan terlibat akan memantau rumah mangsa yang perlu dibaik pulih,” katanya .

Beliau berkata demikian ketika melawat rumah mangsa ribut bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Keselamatan Negara dan Umno Bahagian Bagan Serai.

Mangsa ribut lihat bumbung tercabut depan mata

Dalam pada itu, mangsa ribut, Roslina Jamaludin, 45, berkata, dia bersama dua anak sedang menonton televisyen di rumah mereka di Kampung Batu 10, di sini, ketika ribut melanda kira-kira jam 5 petang.

Menurutnya, dia terdengar dentuman sebelum melihat keseluruhan bumbung rumahnya tercabut diterbangkan ribut.

"Kami terkejut bila lihat pusaran hitam menerbangkan seluruh bumbung rumbah sekelip mata.

"Saya bersama anak cepat-cepat lari ke rumah ibu di sebelah... lepas itu kami lihat pusaran hitam itu dekat bahagian rumah ibu dan ibu segera laungkan azan," katanya.

Ibu mangsa, Rajmah Che Ros, 59, berkata, dia menarik Roslina dan dua cucunya ke dalam rumah selepas melaungkan azan, namun bumbung rumahnya turut diterbangkan ribut.

“Lebih mencemaskan, kayu alang bumbung rumah turut runtuh dan hampir menimpa seorang cucu yang bersembunyi dalam bilik.

“Walaupun rumah anak saya rosak teruk, tapi kami bersyukur sebab semuanya terselamat,” katanya.

Seorang lagi mangsa ribut, Atan Mat, 53, berkata, bahagian tingkat atas rumahnya di Kampung Parit Haji Taib, di sini, hampir musnah sepenuhnya dilanda ribut sama.

Menurutnya, ketika kejadian isteri dan anak-anaknya berada dalam rumah, manakala dia duduk di luar.

“Saya dapat lihat beberapa pokok kelapa dan pokok pisang melentur hampir 45 darjah... seolah-olah menyembah bumi.

"Ribut ini menyebabkan saya rugi kira-kira RM10,000 dan bagaimanapun, kami bersyukur sebab Dr Noor Azmi beri jaminan untuk baik pulih rumah ini," katanya.

 Sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/ribut-terburuk-dalam-sejarah-1.418081

Cetak   Emel

Offcanvas

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipisicing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua.